kalau rasa menarik like,tiada paksaan

sapa yang sudi ikut la

Rabu, 7 April 2010

kumbang bukan seekor.......bunga hanya sekuntum.....renungkan.

Kumbang bukan seekor, tetapi bunga hanya sekuntum. Maka, memang menjadi rebutanlah sekuntum bunga yang sedang mekar di tengah taman itu. Kumbang-kumbang dewasa yang menetap di sebatang pokok berhampiran taman, masing-masing cuba mempamerkan kebolehan yang ada pada diri agar dapat menambat hati si bunga cantik rupawan.

Seekor kumbang yang merasakan rupa parasnya terlalu kacak, terbang menghampiri bunga itu. Seiring dengan latar belakang muzik yang romantis, dia menari-nari di sekeliling bunga. Si bunga tersenyum manja. Diperhatikan dari bawah hingga ke atas. Benar! Sang kumbang itu tersangatlah tampan. Romantik. Ditambah pula dengan gayanya yang tersendiri, memang ada kelas! Mungkin sesuai untuk dipadankan dengan si bunga yang rupawan. Tapi nanti dulu! Ada soalan cepu emas yang hendak ditanyakan kepada sang kumbang.

“Apakah kebarangkalian mendapat nombor 7 apabila sebiji dadu dilontarkan?” Tanya si bunga.

Sang kumbang menjawab dengan penuh keyakinan, tetapi romantik. “Mestilah tujuh dinda…”

Reject! Si bunga tidak mahu dijodohkan dengan kumbang yang bodoh lagi bebal itu. Maka, terbanglah sang kumbang macho rupawan kembali ke pokok dengan penuh kekecewaan.

Selang satu baris kemudiannya.

Mendengarkan cerita sang kumbang kacak itu tadi, sang kumbang bijak bestari merasakan dia ada kelebihan dan ciri-ciri kumbang idaman si bunga cantik jelitawan. Sebelum terbang bertemu si bunga, dia mengira jumlah kalori yang bakal digunakan untuk terbang nanti. Bukan apa, kalau si bunga tanya nanti, pasti teserlah kebijaksanaannya! Tersenyum kambing sang kumbang bijak bestari itu sendirian.

Tanpa iringan muzik, sang kumbang bijak bestari menyampaikan serangkap pantun yang luar biasa indahnya. Niat di hati mahu mempamerkan kemahirannya dalam bersastera. Si bunga tersenyum mendengar pantun itu. Tanpa disuruh, sang kumbang bijak bestari menulis pula teori-teori fizik seperti teori Bernoulli, konsep pemindahan haba dan tak terkecuali, hukum pembiasan cahaya melalui kanta cembung dan cekung. Sekali lagi si bunga tersenyum. Sang Kumbang apa lagi, bangga tak terkata.

“Kekanda, dinda nak minta tolong sedikit. Boleh tak kekanda alihkan batu-batu di sekeliling dinda ini?” Pinta si bunga sambil menunjuk ke arah beberapa ketul batu yang bertaburan di bawah. “Dinda rasa rimas lah!”

“Tidak ada masalah dinda! Mengikut perkiraan, kanda hanya memerlukan 385.7 joule untuk mengalihkan batu tersebut.” Balas sang kumbang bijak bestari sambil berpeluh sakan. Tak masuk akal langsung! Mana mungkin seekor kumbang mempunyai tenaga sebanyak itu. Tetapi disebabkan rasa cintanya kepada si bunga cantik rupawan, dia tetap mencuba. Akan tetapi, usahanya tak ubah seperti ikan di hulu, tuba di hilir.

Reject! Si bunga bukan setakat mahukan kumbang yang pandai, malah kuat bertenaga. Bagaimana jika ada musuh datang nanti? Siapa yang hendak beri pelindungan? Maka, terbanglah sang kumbag bijak bestari itu dengan keadaan yang pening-pening lalat kerana banyak tenaganya sudah ditumpahkan begitu sahaja.

Selang satu baris sekali lagi.

Datang pula seekor kumbang yang gagah perkasa. Tanduknya hebat, dapat menumpaskan semua musuh dengan mudah. Dalam seminggu, empat ke lima kali dia pergi ke gymnasium untuk memastikan tanduknya kelihatan hebat dan gagah. Mendengarkan kisah sang kumbang bijak bestari itu tadi membuatkan dia berasa bahawa dia lah calon kumbang pilihan si bunga wang-wangian.

Dengan iringan tiupan bayu yang tidak mudah sekali menggoncang, sang kumbang gagah perkasa pula pergi mencuba nasib . Di hadapan si bunga ceria keriangan, sang kumbang gagah perkasa membuat aksi-aksi seekor kumbang gagah. Dengan sekali hayun sahaja, pecah berderailah batu-batu yang yang cuba untuk diangkat sang kumbang bijak bestari itu tadi. Si bunga tersenyum melihat kekuatan sang kumbang gagah perkasa itu. Tetapi si bunga masih belum membuat keputusan. Dia bertanya satu soalan.

“Wahai kanda, rukun Iman ada berapa agaknya ya?”

Si kumbang gagah perkasa tertawa. “Wahai dinda. Dinda ingat kanda ni jahil agama ya? Senang sahaja, jawapannya adalah 5. Yang pertama, kepercayaan kepada Tuhan. Yang kedua, kesetiaan pada raja dan negara. Ketiga…”

Belum pun sempat sang kumbang gagah perkasa menghabiskan jawapannya yang sangat teliti itu, si bunga cantik rupawan mencelah. “Itu rukun negaralah kanda. Boleh tahan juga kejahilan kanda ya..”

Reject! Si bunga bukan sekadar mencari kumbang yang kacak lagi tampan, bijak akademik dan ko-kurikulum juga gagah perkasa, akan tetapi mestilah alim dalam soal agama. Rupa-rupanya si bunga ini cantik lagi demand. Macam-macam syarat yang diletakkan untuk bakal kumbang idaman hati.

Selang satu hari pula…

Seekor kumbang yang alim, tawadu’ serta zuhud, terbang mencuba nasib. Rakan-rakan kumbang yang lain merasakan, inilah kumbang terbaik yang memiliki ciri-ciri yang diidamkan si bunga. Maka, sang kumbang penuh ciri-ciri idaman itu melamar dengan penuh adab sopan.

“Sesungguhnya, aku tidaklah sempurna dalam semua hal. Aku kuat, tetapi tidaklah sehingga boleh memecahkan batu. Aku bijak, tetapi tidaklah sehingga mendapat 4.0 setiap semester. Aku kacak, tetapi tidaklah pernah pula dimuatkan dalam ruangan model mana-mana majalah. Soal agama pula, banyak ilmu yang sudah aku belajar, tetapi tidaklah semua sudah ku miliki kerana ilmu Allah itu terlalu luas. Sekiranya semua pokok menjadi pena, dan seluruh air laut menjadi dakwatnya, maka itu pun tidaklah mencukupi untuk menulis semua ilmu Allah. Maka, apa yang hendak aku khabarkan pada kamu wahai si bunga yang banyak nama, aku ini hanyalah kumbang yang sederhana sahaja. Sudikah kau menerima lamaranku ini?”

Si bunga tersenyum lalu berkata. “Apakah harta benda dan kekayaan mu juga adalah sederhana?”

Sang kumbang tertunduk. “Aku juga adalah kumbang yang memiliki kekurangan. Aku tidaklah mempunyai harta yang banyak. Tetapi aku akan berusaha untuk mencari rezeki buatmu.”

“Jikalau begitu, aku tidak mahu! Tidakkah kau tahu, harta kekayaan itu adalah sangat penting?” Balas si bunga.

Sang kumbang tidak mahu banyak berbicara lagi. Dia pun pulang dengan tangan kosong.
Minit berganti minit. Jam berganti jam. Hari berganti hari. Minggu berganti minggu. Pokok di tepi taman itu nampaknya akan ditebang manusia. Semua kumbang yang tinggal di situ terpaksa berpindah. Kini, si bunga cantik rupawan indah jelitawan ceria keriangan itu tinggal KESEORANGAN, menanti status bertukar menjadi LAYU-LAYUAN
Petikan dari blog sahabat saya…………….

2 ulasan:

  1. tak sedar dirinya bunga tu...
    aish...

    untuk mencari yang sempurna..kita perlu menjadi sempurna dahulu..

    tapi yg pasinya..tiada manusia yg sempurna di muka bumi ini..

    BalasPadam
  2. Menarik kisah ini. Apakah sebenarnya yang dicari oleh bunga tersebut?

    BalasPadam

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...